Petani Keningau wajib miliki sijil MyGap

KENINGAU, 20 Mei – Petani mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di daerah ini diwajibkan untuk memiliki sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi membolehkan hasil pertanian dieksport ke luar negara tanpa sebarang masalah.

Penolong Pegawai Pertanian Kanan Keningau Jupini Salim berkata pemilikan sijil myGAP adalah syarat penting untuk memastikan pasaran hasil pertanian tempatan dapat diperluaskan dalam skala lebih besar kerana pengimport hanya akan membeli produk diiktiraf selamat untuk dimakan.

“Tanpa sijil myGAP, pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan sukar menembusi pasaran luar negara. Bagaimanapun, kini, ramai pengusaha sudah memahami kepentingan perakuan dan pengiktirafan myGAP dengan memastikan mereka memiliki sijil tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Jupini berkata mana-mana ladang memperoleh sijil myGAP diiktiraf sebagai pengeluar tanaman berkualiti dan selamat untuk dimakan berpandukan MS1784:2005 Crop Commodities-Good Agricultural Practice.

“Pengimport hanya akan membeli sayur-sayuran atau buah-buahan memiliki sijil myGAP. Justeru, pemilikan sijil itu perlu diperluaskan kepada semua pengusaha,” katanya.

Jupini berkata Jabatan Pertanian Keningau menyasarkan sekurang-kurangnya lima pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan berkapasiti tanaman di bawah 20.2 hektar memperoleh sijil myGAP setiap tahun.

Setakat ini, hanya 10 pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan di sini memiliki sijil myGAP dan mula memasarkan hasil pertanian mereka ke luar negara tanpa sebarang masalah, katanya.

Keningau adalah daerah penanaman sayur-sayuran tanah rendah terbesar di Sabah dan sebahagian besar hasil pengeluaran tanaman tersebut menyasarkan Brunei sebagai pasaran utama selain Singapura, manakala durian musang king pula disasarkan untuk pasaran ke China. – Bernama

Penolong Pegawai Pertanian Kanan Jabatan Pertanian daerah Keningau Jupini Salim menunjukkan pelbagai buah cili yang dihasilkan oleh para pengusaha di Keningau yang mendapat pengiktirafan Amalan Pertanian Baik atau Good Agricultural Practice (GAP). Pengusaha sayuran dan buah-buahan di Keningau yang mendapat persijilan myGAP kini bebas mengimport hasil tani mereka ke negara Brunei Darussalam, Singapura atau China tanpa sebarang masalah. – Bernama