Thursday, October 6, 2022
24.9 C
Brunei

Petani muda pupuk minat belia terhadap pertanian

-

DAR ES SALAAM – George Reuben Sanga berasa seronok ketika berjalan di sekitar rumah hijaunya seluas 120 meter persegi di Makongo Juu di ibu kota komersial Tanzania, Dar es Salaam.

Kawasan pertanian Sanga seluas setengah hektar itu menghijau sepanjang tahun, di mana dia terlibat dalam demonstrasi untuk pertanian pengairan, perikanan dan penternakan ayam.

“Pertanian adalah kekayaan. Jika seseorang ingin menjana wang, seseorang itu harus melabur dalam bidang pertanian kerana setiap manusia memerlukan makanan.

“Tidak seperti menjalankan kedai pakaian di mana pelanggan awda terhad,” kata Sanga yang berusia 35 tahun kepada Xinhua.

Sanga berkata dia dilatih sebagai jurutera awam di peringkat juruteknik dan mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pembinaan.

George Reuben Sanga memeriksa sayur-sayuran di rumah hijaunya di Dar es Salaam, Tanzania. – Xinhua
Sanga juga menanam cili di ladang demonstrasi seluas empat hektar. – Xinhua

Tetapi dia berhenti dan pada 2015 memulakan projek pertaniannya yang dipanggil Waloma Investment dengan slogan, ‘Pertanian dan Penternakan Ke arah Perindustrian Negara’.

“Saya mengambil keputusan untuk bercucuk tanam selepas menjalani latihan pertanian pengairan dan penternakan ikan di wilayah Dodoma apabila menyedari pertanian sememangnya jawapan tepat kepada pengangguran yang dihadapi kebanyakan belia di negara ini,” katanya.

Petani muda itu, yang juga menanam cili di ladang demonstrasi seluas empat hektar dan satu lagi ladang pawpaw seluas empat hektar di daerah Mkuranga di wilayah pantai dengan salah seorang pekerja pelatihnya, berkata dia berkongsi pengetahuan pertaniannya dengan belia yang melawat ladangnya dari pelbagai bahagian negara.

“Saya melatih mereka tentang cara menanam pelbagai tanaman dan penggunaan benih berkualiti tinggi.

“Saya juga melatih mereka tentang musim yang baik untuk menanam pelbagai tanaman termasuk tomato,” katanya.

“Selain melatih belia, orang yang telah bersara daripada pekerjaan di syarikat swasta dan awam serta orang yang berminat dalam bidang pertanian mengunjungi tempat saya untuk mempelajari ABC pertanian, penternakan ikan dan ayam,” tambahnya.

Beliau berkata antara penerima bantuan projeknya ialah pelajar dari Universiti Pertanian Sokoine di wilayah Morogoro dan pelajar dari beberapa kolej pertanian lain di negara ini.

“Mereka datang ke sini dengan pengetahuan yang sedikit tentang pertanian, tetapi pada penghujung hari mereka pulang ke rumah atau ke kolej lengkap dengan kemahiran dalam kegiatan pertanian,” kata Sanga.

Selama tujuh tahun, projeknya telah melatih lebih 20 petani muda yang kini mempunyai ladang sendiri.

“Saya juga telah menggaji 10 petani belia dalam projek saya dan saya telah dikunjungi oleh lebih 2,000 tetamu, yang kebanyakan mereka berminat untuk belajar tentang pertanian, perikanan dan penternakan,” katanya.

Petani itu berkata dia menjual hasil pertaniannya kepada masyarakat dan ke beberapa sekolah serta pasar raya di ibu kota perniagaan itu.

Tetapi seperti mana-mana perniagaan lain, Sanga berkata beliau menghadapi beberapa cabaran, termasuk kenaikan harga input ladang dan perubahan iklim yang memberi kesan besar kepada pertanian.

Di samping itu, Sanga mempunyai satu mesej kepada rakan-rakan belianya: “Sejak saya mula melibatkan diri dalam bidang pertanian, kebajikan saya telah meningkat dengan pesat.

“Dan jika seseorang ingin berjaya dalam kehidupan sebagai belia, ia akan mendapatnya di ladang.” – Xinhua

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hasrat rai majlis kahwin tak kesampaian

NEW DELHI, 5 OKT - Hasrat 25 individu yang ingin meraikan majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum...
- Advertisment -