BAFOUSSAM, CAMEROON – Dipanggang dengan menggunakan pencucuk, dikeringkan atau pun digunakan sebagai ramuan dalam minyak rambut: petani di Bafoussam di barat Cameroon sedang berusaha mempromosi cendawan yang tidak popular dalam kalangan penduduk setempat, yang ditanam di tanah perladangan terbiar, untuk dipasarkan ke negara luar.
Budaya fungus atau penanaman cendawan boleh dimakan, sudah lama dibangunkan di negara Barat, sementara China telah menjadi pengeluar terbesar di dunia.
Namun cendawan masih tidak dikenali ramai di Afrika, meskipun mempunyai banyak kelebihan dan khasiat di mana ia boleh didapati dengan banyak dan percuma serta membekalkan makanan ‘bersih’ dengan mengitar semula sisa buangan.
Penduduk Cameroon suka makan cendawan tetapi terpaksa menunggu musim hujan untuk mengenal pasti dan memetik fungus boleh dimakan itu di hutan negara barat Afrika. Di Bafoussam, ibu negara rantau Barat dan bandar kelima terbesar, Jean-Claude Youbi melihat peluang yang cerah untuk menceburi sektor itu, seperti petani kecil lain di negara yang mempunyai 28 juta penduduk itu.
Youbi menanam ribuan cendawan tiram dalam bilik gelap Kumpulan Inisiatif Umum – GIC Champignon – yang dilancarnya bersama rakan kongsi di Maetur, sebuah daerah di Bafoussam, empat tahun lalu.
“Kami berada dalam rumah cendawan GIC,” umum Youbi dengan bangga di tengah deretan fungus yang ditanam di rak dengan menggunakan sisa perladangan yang dipek dalam beg plastik.
“Sesetengahnya, seperti cen-dawan ini, telah melepasi tempoh menuai,” kata salah seorang rakan kongsinya, Patrick Yaptieu, sambil mengalihkan timbunan cendawan yang telah berubah daripada warna putih kepada kekuning-kuningan. Seterusnya dia meletakkan hasil cendawan baik yang dipetik pada hari itu ke dalam beg untuk dihantar ke kedai GIC, terletak berdekatan dengan pusat bandar.
Satu kilogram cendawan tiram dijual di Bafoussam dengan harga 2,000 CFA francs (AS$3.11), manakala ia berharga 3,500 CFA di Yaounde, ibu negara, atau Douala, pelabuhan utama dan ibu negeri ekonomi.
Kekurangan data kebangsaan rasmi mengenai pengeluaran dan penggunaan cendawan menjadikannya sukar untuk memperoleh idea mengenai nilai pasaran malah perkembangan sektor berkenaan.
Aktiviti di premis GIC Champignon diselang-seli dengan kesibukan pekerja atau pelanggan yang datang dan keluar, sementara dua pelatih muda dalam sebuah bilik kecil menyodok longgokan saki-baki hasil keluaran pertanian.
Untuk memperoleh budaya penanaman tanpa tanah-tanih, ‘kami mencampurkan batang jagung bersama nutrien seperti bran tepung, gandum dan pewarna merah tua,” jelas pengurus pengeluaran, Brice Nono Djomo.
“Kami mencampurkan racun kulat ke dalam sebatian tersebut untuk mengelak cendawan menjadi buruk,” katanya, menambah kesan daripada rawatan pencegahan ini akan beransur-ansur lenyap selepas dua minggu, sebelum cendawan yang baik membesar.
Selepas campuran substrat tersebut sudah siap, ia akan dibasmi kuman, disimpan dalam tong dan dipanaskan di atas kayu api, seterusnya disejukkan dan diletak dalam beg plastik. Sebaik sahaja spora mula kelihatan, beg berkenaan akan diletak dalam rumah cendawan, di mana ia mengambil masa 30 hari untuk melihat batang cendawan pertama muncul.
“Saya berasa kagum mengetahui cendawan ditanam menerusi cara ini,” kata Junior Leogip, seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang meluangkan masa cuti sekolahnya mengikuti program pelatih di GIC Champignon. “Saya belajar cara-cara menyediakan substrat, saya ingin mengetahui segala-galanya mengenai penanaman cendawan,” tambah Leogip, yang tekad untuk memasuki kolej pertanian selepas memperoleh ijazah sarjana mudanya.
“Impian saya adalah melancarkan syarikat pengeluaran saya sendiri dan menjadi usahawan berdikari,” kata Lea Tona, seorang lagi pelatih yang datang dari Yaounde.
“Setiap tiga bulan, masa untuk melengkapkan satu kitaran penanaman penuh, perniagaan di Bafoussam menghasilkan kira-kira 300 hingga 400 kilogram cendawan, 80 peratus di antaranya dijual secara langsung kepada pelanggan untuk dimakan.
Yang selebihnya akan diproses menjadi minyak rambut dan badan, sabun, jus malah arak yang diperkenalkan oleh Youbi sebagai ‘wiski cendawan.’
Dalam sebuah makmal kecil di GIC, Youbi mengisar sebahagian daripada hasil tuaian dalam mesin pengisar untuk mendapatkan jus yang akan dicampurkan dengan elemen lain untuk menghasilkan pelbagai produk sampingan.
“Untuk minyak kecantikan, kami boleh menambah lendir siput dan minyak wangi untuk memberikannya bau yang harum,” katanya, berkongsi rahsia yang dipelajari daripada ahli keluarganya.
“Kami berada dalam fasa promosi. Untuk minyak rambut, kami memberikan kotak-kotak kepada beberapa pendandan rambut untuk dicuba. Ia melembutkan rambut dan membantunya tumbuh semula, ia merawat kelemumur, rambut yang mudah gugur,” beritahu Josiane Sogo, di kedai pendandan rambutnya.
Sesetengah orang lebih suka memakan cendawan.
“Saya adalah seorang peminat tegar cendawan, terutamanya disebabkan manfaatnya dari segi kesihatan. Ia adalah daging sayur yang membantu tubuh badan saya sihat dan bebas daripada beberapa risiko kesihatan,” ujar Barthelemy Tchoumtchoua, mendapati pencucuk cendawannya kaya dengan protein dan vitamin B2, B3, B5 dan D.
“Disebabkan budaya fungus, ‘kami boleh memakannya sepanjang tahun,’ ujarnya dengan penuh ghairah. – AFP