PIROT, SERBIA – Hampir 20 tahun lalu, Panta Petrovic membuat pilihan memencilkan diri sebagai gaya kehidupannya apabila dia berpindah ke sebuah gua kecil di gunung Serbia untuk mengelak daripada masyarakat.
Tahun lalu, semasa sedang melawat sebuah bandar, lelaki berjanggut panjang itu mendapati bahawa dunia sedang dilanda pandemik yang semakin merebak. Setelah vaksin COVID-19 sedia untuk didapati, dia mendapatkan suntikan dan menyeru orang ramai untuk melakukan perkara yang sama.
“Virus itu tidak memilih sesiapa sahaja. Ia juga akan datang ke sini, ke gua saya,” kata lelaki berusia 70 tahun itu kepada AFP di dalam gua di gunung Stara Planina yang berhutan di selatan Serbia.
Gua yang dianggap oleh Petrovic sebagai rumah hanya dapat dicapai dengan pendakian curam yang bukan untuk orang yang sanggup dengan pendakian lasak. Ia dilengkapi dengan tab mandi yang sudah berkarat yang digunakannya sebagai tandas, beberapa bangku dan himpunan jerami yang dijadikan sebagai tempat tidur.
Petrovic berasal dari bandar Pirot yang berdekatan di mana dia bekerja sebagai buruh di pasar gelap, seperti yang dia lakukan di luar negara selama beberapa waktu. Dia pernah bernikah beberapa kali dan menganggap kehidupannya ‘sibuk’.
Sebagai seorang pencinta alam, dia secara beransur-ansur menyedari bahawa mengasingkan diri dari masyarakat membawanya kebebasan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini.
“Saya tidak bebas di bandar. Selalu ada orang yang menghalangi anda sama ada anda berdebat dengan isteri, jiran atau polis,” kata Petrovic kepada AFP sambil memotong sayur untuk makan tengah hari.
“Di sini, tidak ada yang mengganggu saya,” lelaki itu menambah sambil tersenyum, menampakkan giginya yang reput.
Wang adalah satu sumpahan
Petrovic kebiasaannya memakan cendawan dan ikan dari anak sungai tempatan, tetapi dia juga turun ke pusat bandar untuk mencari sisa makanan di tong sampah. Dan kebelakangan ini dia sering berkunjung ke bandar.
Setelah serigala membunuh beberapa binatang yang disimpannya berdekatan gua, Petrovic memutuskan untuk memindahkannya ke pondok yang dia bangunkan di pinggir kota di mana dia rasakan ia lebih selamat.
Ia merangkumi beberapa ekor kambing, sekumpulan ayam, 30 ekor anjing dan kucing dan kegemarannya seekor khinzir hutan bernama Mara. Petrovic menemukannya lapan tahun yang lalu sebagai anak khinzir yang tidak berdaya terperangkap di semak-samun, dan memberi makan menggunakan botol sehingga ia pulih. Sekarang, haiwan seberat 200 kilogram itu bermain di sungai dan memakan epal dari tangan Petrovic.
“Ia segalanya bagi saya, saya menyayanginya dan ia patuh kepada saya. Tidak ada wang yang dapat membeli haiwan seperti itu. Haiwan peliharaan sejati,” kata Petrovic.
Di antara haiwan itu, terdapat tiga ekor anak kucing yang ibunya dibunuh oleh serigala, yang kini ia makan melalui picagari. Petrovic mendapat kebajikan, tetapi juga bergantung pada sumbangan untuk makanan dan bekalan haiwan tersebut.
Setelah vaksin boleh didapati, dia menggulung lengan bajunya dan mendapatkan suntikan. Petrovic mengatakan dia “tidak memahami kekecohan” yang dibuat oleh beberapa skeptis vaksin, dan mengatakan bahawa dia percaya proses tersebut adalah untuk membasmi penyakit.
“Saya ingin mendapatkan ketiga-tiga dos, termasuk yang satu lagi. Saya menggesa setiap warga negara untuk mendapatkan vaksin, setiap satu dari mereka.”
Sebelum mengasingkan diri, Petrovic menyumbangkan semua wang yang dihasilkannya di luar negara kepada masyarakat dengan membiayai pembinaan tiga jambatan kecil di bandar itu.
“Wang adalah satu sumpahan, ia merosakkan orang. Saya rasa tidak ada yang boleh merosakkan manusia seperti wang,” kata Petrovic kepada AFP. Puncak jembatan tersebut, Petrovic membangun loteng untuk burung bagi menyimpan kepingan roti yang di temukannya ketika menyelongkar dalam tong sampah. – AFP