Petr Fiala diumum PM baharu Republik Czech

PRAGUE, 28 NOV – Petr Fiala dinamakan perdana menteri baharu Republik Czech hari ini dalam satu majlis luar biasa, dengan Presiden Milos Zeman yang duduk di kerusi roda bercakap dari belakang pengadang plastik disebabkan beliau mempunyai COVID-19.

Fiala, bekas saintis politik, akan berdepan tugas mencabar bergelut dengan salah satu kadar jangkitan COVID-19 tertinggi termasuk satu kes varian baharu Omicron. “Saya yakin kami akan mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil tidak lama lagi,” kata Fiala pada majlis tersebut.

Zeman berkata beliau berhasrat mengakhiri mesyuarat dengan bakal menteri pada 13 Disember dan ‘kami boleh menyediakan pelantikan kerajaan selepas itu.’

Fiala bergabung dengan Parti Demokratik Sivik dengan dua parti lebih kecil untuk menubuhkan perikatan Together yang menduduki tempat pertama dalam pilihan raya umum bulan lalu.

Kumpulan itu, yang termasuk Demokrat Kristian dan parti TOP 09, menewaskan gerakan ANO pimpinan Perdana Menteri Andrej Bbais.

Perikatan itu telah menubuhkan gabungan dengan dua parti tengah – parti Mayors dan parti Pirate – untuk memperoleh majoriti 108 undi dalam parlimen 200 kerusi itu.

Kelima-lima parti telah bersetuju mengenai komposisi kerajaan akan datang serta dasar utamanya. – AFP

Petr Fiala semasa berucap pada siding media di Lany, barat Prague, Republik Czech kelmarin. – AFP