Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petrol habis, parlimen tutup awal

    COLOMBO, 23 JUN – Parlimen Sri Lanka telah membatalkan sesi perbincangan seterusnya minggu ini demi untuk menjimatkan petrol, kata para pegawai hari ini, ketika krisis ekonomi negara itu telah menghabiskan bekalan petrolnya.

    Kekurangan mata wang asing telah menghalang pengimportan makanan, minyak dan ubat-ubatan, sementara inflasi dan gangguan bekalan elektrik telah menjadikan kehidupan lebih derita bagi 22 juta penduduk Sri Lanka.

    Pegawai parlimen berkata ahli perundangan memutuskan untuk membatalkan sesi itu hari ini dan pada Jumaat untuk mengelak penggunaan petrol, beberapa hari selepas pihak berkuasa menutup sekolah dan beberapa pejabat kerajaan atas sebab sama.

    Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera berkata penghantaran gasolin yang dijangka tiba hari ini telah tertangguh dan menggesa penduduk untuk mengurangkan perjalanan.

    “Hanya sejumlah petrol yang terhad akan diagihkan kepada stesen pengepaman minyak hari ini dan esok,” ujarnya kepada wartawan di Colombo, dengan pelanggan sudah pun menunggu beratur berhari-hari untuk mengisi tangki mereka.

    Negara jirannya, India, yang menawarkan beberapa pinjaman untuk Sri Lanka agar dapat mengimport barangan penting, telah menghantar pakar-pakar hari ini untuk menilai situasi ekonomi negara itu.

    “Kedua-dua parti membincangkan tindakan jangka panjang dalam program bantuan India untuk menstabilkan dan memulihkan ekonomi Sri Lanka,” kata pejabat Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dalam satu kenyataan.

    Suruhanjaya Tinggi India di Colombo berkata New Delhi sudah pun melanjutkan nilai bantuan berjumlah AS$3.5 bilion untuk menangani krisis mata wang. – AFP

    Deretan beca di stesen minyak Colombo pada 20 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda