PetroleumBRUNEI jalani penstrukturan semula

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Syarikat Petroleum Kebangsaan Brunei Sdn Bhd (PetroleumBRUNEI) mengumumkan dalam kenyataannya hari ini bahawa ia sedang menjalani penstrukturan dan penyusunan semula fungsi-fungsinya.

Penyusunan semula Syarikat PetroleumBRUNEI tersebut dirancang untuk dimulakan dengan pemindahan fungsi pengawalseliaannya kepada Autoriti Petroleum (Petroleum Authority) yang akan ditubuhkan pada penghujung tahun 2019.

Menurut kenyataan itu lagi, sejak ditubuhkan pada 2002, ia telah memegang peranan komersial dan juga pengawalseliaan, dan bagi penyusunan semula aset-aset syarikat, pelbagai fungsi komersial akan diselaraskan dan dioptimumkan lagi. Pengoptimuman dan penyusunan semula aset ini akan membolehkan peningkatan fokus dan kemapanan jangka panjang fungsi-fungsi teras serta meningkatkan lagi sinergi di antara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (Government-Linked Companies).