KUALA LUMPUR, 8 Mac – Keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM55.3 bilion dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Dis 2018, daripada RM45.5 bilion pada 2017, atas sokongan hasil tinggi dan disokong oleh masuk kira semula bersih rosot nilai aset.
Sementara tu, hasil juga meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM251 bilion daripada RM223.6 bilion dalam tahun kewangan 2017, disebabkan terutamanya purata harga direalisasi lebih tinggi bagi semua produk utama.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata syarikat itu merekodkan prestasi kewangan kukuh pada 2018, disokong oleh usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kecemerlangan komersial.
“Kami mencatatkan kemajuan dalam melaksanakan strategi jangka panjang kami dan akan terus melabur pada masa depan,” katanya semasa taklimat mengenai prestasi kewangan dan suku keempat 2018 syarikat, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai harga minyak, beliau berkata, ia dijangka kekal tidak menentu tahun ini dan keadaan tidak menentu ini boleh membawa kesan yang ketara.

Wan Zulkiflee berkata perancangan PETRONAS tahun ini adalah berasaskan kepada harga minyak AS$66 setong.
“Kami menggunakan AS$66 setong (sebagai penanda aras) bagi perancangan kami kerana menjangkakan tahun yang tidak menentu. Seperti yang anda dapat lihat pada bulan lepas, pengeluaran minyak juga agak tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata PETRONAS merancang memperuntukkan lebih sedikit daripada RM50 bilion bagi peruntukan modalnya tahun ini, tinggi sedikit berbanding RM46.8 bilion yang diperuntukkan pada 2018. Aktiviti huluan dijangka mendapat suntikan RM30 bilion manakala RM15 bilion diperuntukkan bagi pasaan domestik.
“Tahun lepas, kebanyakan perbelanjaan modal diperuntukkan bagi Kompleks Bersepadu Pengerang. Sebahagian perbelanjaan itu akan digunakan untuk meneroka tenaga boleh diperbaharui.
“Ini kerana minyak adalah sumber yang berkurangan dan saya rasa kami perlu memperuntukkan perbelanjaan modal terhadap apa juga peluang yang tersedia, dan India adalah salah satu daripadanya dan juga Malaysia,” kata Wan Zulkiflee.
Dilaporkan bahawa PETRONAS menunjukkan minat terhadap satu daripada pengeluar kuasa solar bumbung terbesar India, Amplus Energy Solutions Pvt Ltd, bagi perjanjian yang dikatakan bernilai RM1.56 bilion. – Bernama

































