Petronas Sprinta Yamaha CKJ-Racing buru kedudukan podium

KUALA LUMPUR, 20 OGOS –  Selepas gagal meraih kedudukan podium pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Sepang (Utara) bulan lepas, pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing mengintai peluang untuk bangkit meraih keputusan positif pada pusingan kedua di Litar Tangkak, Johor, hujung minggu ini.

Pengurus pasukan berkenaan, Amer Saad berkata pasukannya sudah mengumpul data yang diperoleh pada pusingan pertama bagi memburu keputusan lebih baik pada perlumbaan pusingan kedua nanti.

“Walaupun keputusan daripada pusingan pertama kurang menyerlah, tetapi data yang dikumpul dari perlumbaan tersebut begitu berharga untuk percaturan strategi seterusnya.

“Untuk perlumbaan pusingan kedua di Litar Tangkak bulan ini, kami akan membuat perubahan dari segi gearbox, ekzos dan suspension supaya lebih kompetitif,” jelasnya dalam satu kenyataan dikeluarkan penganjur perlumbaan hari ini.

Dua pelumba pasukan berkenaan, Saiful Azhary Muhamad dan Awal M Al Fikri Yusni, meraih kedudukan ke-13 dan ke-17 pada pusingan pertama, bulan lalu.

Seorang lagi pelumba pasukan itu, Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff yang merupakan juara kategori CP115 pada musim lalu, gagal menamatkan perlumbaan setelah terjatuh pada pusingan ketiga. – Bernama