Petronas teroka pasaran tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil langkah untuk meneroka bahagian pertumbuhan baharu selain minyak dan gas konvensional, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Wan Zulkiflee berkata berikutan permintaan terhadap sumber tenaga yang lebih mampan, Petronas sedang mempertimbangkan pelaburan berdaya maju dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan biojisim secara komersial.

“Untuk menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat, Petronas telah memulakan pelbagai pelaburan dalam bidang tenaga berpaksikan kepada strategi tiga serampangnya bagi membangunkan tenaga campuran yang akan mengimbangi secara berkesan Trilemma Tenaga merangkumi jaminan, kemampuan dan kelestarian bekalan tenaga,” katanya pada Perbincangan Meja Bulat Forum Ekonomi Dunia mengenai landskap tenaga Malaysia, di sini, hari ini.

Penerokaan baharu itu akan menyokong inisiatif Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai status ekonomi renda  karbon menjelang 2050.

Beliau berkata matlamat keneutralan karbon itu hanya akan menjadi kenyataan dengan perubahan menyeluruh dalam sektor tenaga Malaysia dipandu oleh dasar tenaga yang mantap dan berpandangan jauh. – Bernama