KUALA LUMPUR, 25 Sept – Petronas dan TiME Marine Services Sdn Bhd akan bersama-sama membangunkan teknologi baharu bagi mencari penyelesaian inovatif dan ekonomi bagi merawat enapcemar untuk mendapatkan semula hidrokarbon di kawasan daratan.
TiME Marine Services, syarikat multinasional dalam industri minyak dan gas, ialah pemenang Petronas Technology Challenge ketiga, yang diumumkan pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas keempat Malaysia (MOGSEC 2018) di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat hidrokarbon negara itu berkata cadangan teknologi TiME Marine Services itu mengetengahkan aplikasi bahan kimia nanoteknologi yang tidak toksik dan mesra alam, mampu mencairkan enapcemar dan lilin berat.
Nanopartikel akan memisahkan emulsi menjadi minyak dan air, yang membolehkan pemerolehan optimum hidrokarbon, dan pada masa yang sama, membersihkan efluen yang dikeluarkan untuk memenuhi piawaian kualiti alam sekitar.
Penyelesaian itu menawarkan rawatan enapcemar berkos efektif daripada minyak mentah dan tangki produk petroleum untuk menghasilkan nilai tambahan daripada hidrokarbon yang diperoleh, kata Petronas.
Teknologi ini juga akan memberi manfaat kepada Petronas, menerusi piawaian kesihatan, keselamatan dan persekitaran yang lebih baik untuk operasi, serta mengurangkan peluang keuntungan dan kerugian yang tidak dirancang.
“Dalam program ini, kami akan menyediakan platform kepada TiME Marine Services untuk menggunakan teknologi yang dimenangi di aset Petronas, serta maklumat proprietari untuk bersama-sama membangunkan dan mengkomersilkan teknologi,” katanya. – Bernama