Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petronas tinjau peluang tingkat operasi di luar negara

    KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Syarikat petroleum nasional, Petronas akan terus meninjau peluang untuk mengembangkan kehadirannya di luar negara biarpun dalam senario kelemahan harga minyak global yang berpanjangan, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif  Huluan, Datuk Mohd Anuar Taib.

    Menurutnya, syarikat itu perlu menseimbangkan portfolio pengeluarannya yang ketika ini sebanyak 70 peratus gas dan 30 peratus minyak.

    “Kita mahu menseimbangkannya (portfolio) lebih baik lagi dengan (mengukuhkan) kedudukan di kawasan atau wilayah minyak. Inilah yang dapat dilihat menerusi pengumuman mengenai usaha penerokaan di lapangan minyak di Mexico baru-baru ini.

    “Hari ini, kita melakukan penerokaan di tiga blok di Mexico,” katanya kepada Bernama.

    Mohd Anuar berkata, sebahagian daripada Teluk Mexico di wilayah Amerika Syarikat juga merupakan kawasan pengeluaran minyak laut dalam yang prolifik.

    Datuk Mohd Anuar Taib semasa temubual dengan Bernama di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur kelmarin.

    “Hanya baru-baru ini Mexico bertindak membuka wilayahnya di Teluk itu kepada pelabur asing. Kita percaya kepada (potensi) lokasi tersebut dan memutuskan untuk membuat bidaan dan amat bersyukur kerana memperoleh tiga blok berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata selain Mexico, Petronas juga berhasrat untuk mengembangkan kehadirannya di Timur Tengah selain berusaha untuk kembali ke medan minyak Iran yang masih di peringkat kajian.

    Pada masa sama, syarikat itu turut mengekalkan kehadirannya di Iraq sejak 2010.

    Setakat 2016, segmen huluan Petronas telah menembusi 23 negara di peringkat global iaitu 216 lapangan pengeluaran, 381 platform luar pesisir dan 21 kemudahan terapung.

    Menurutnya, biarpun kemelesetan minyak pada 2015 menjadi fasa permulaan mencabar bagi industri minyak dan gas global, ia tidak akan menghalang Petronas daripada terus mengembangkan operasi di luar negara serta mengekalkan pengeluaran tahunan sedia ada.

    Mohd Anuar berkata, Petronas juga sedang menimbang untuk terus memperluaskan kedudukannya di Asia Tenggara dan ASEAN dengan memanfaatkan hubungan baik antara Malaysia dan negara-negara jirannya.

    “Kerajaan kita dan kerajaan negara lain saling bekerjasama yang turut membolehkan kita menjalin kerjasama dengan syarikat minyak nasional lainnya.

    “Pasaran ASEAN memiliki potensi besar dengan penduduk seramai 600 juta orang. Ini turut menjadi kawasan tumpuan perniagaan huluan dan hiliran Petronas,” katanya.

    Selain itu, kata Mohd Anuar, Petronas akan turut memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan sumber gas bukan konvensional yang kebanyakannya dipacu oleh kehadiran syarikat itu di Kanada.

    “Kita sudah melabur sebanyak 10 bilion dolar Kanada di kawasan North Montney dan kini mempunyai asas sumber terbukti iaitu kira-kira 22.3 trilion kaki padu, satu aset penting selepas Malaysia, dengan tempoh pajakan yang panjang.

    “Kita juga menghasilkan pengeluaran untuk pasaran domestik di Kanada sejak 2012 iaitu menghampiri 600 juta kaki padu standard sehari dan operasi di Kanada juga telah menjana pendapatan sedari awal lagi,” katanya.

    Mohd Anuar berkata, Petronas juga perlu meneruskan usaha meninjau peluang baharu bagi mengekalkan kapasiti pengeluaran tahunannya berikutan penyusutan sumber pada kadar antara 9-10 peratus.

    Tahun lepas, pengeluaran Petronas dianggarkan sebanyak 648,000 tong sehari.

    Selain itu, katanya, Petronas juga memberi tumpuan kepada perniagaan gas asli cecair (LNG) di peringkat antarabangsa.

    Menurutnya, Petronas merupakan penggiat LNG penting dengan bahagian pasaran sebanyak 18 peratus di Jepun, 9.0 peratus di Korea dan 12 peratus di China namun ia adalah pasaran matang dengan pertumbuhan tepu.

    “Pertumbuhan itu lebih terarah ke benua India iaitu India, Pakistan dan Bangladesh. Kita juga melihat pertumbuhan di Asia Tenggara khususnya di Indonesia, Myanmar dan Thailand,” katanya.

    Mohd Anuar berkata, potensi itu turut ketara di Timur Tengah yang merupakan pengguna utama LNG. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda