Petronas Yamaha SRT tekad bangkit cemerlang

KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Dua pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli; bertekad untuk melupakan kekecewaan dalam perlumbaan sebelum ini, dan menggandakan usaha untuk mendapat keputusan lebih baik pada perlumbaan Catalunya Grand Prix (GP) di litar Barcelona-Catalunya Circuit di Sepanyol, hujung minggu ini.

Quartarato yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam edisi 2019 di litar berkenaan, jelas yakin untuk sekali lagi mempamerkan persembahan memberangsangkan kali ini.

“Saya memang nantikan saat ini, kerana rasanya saya boleh dapatkan keputusan yang baik nanti. Memang benar litar itu mempunyai satu kilometer laluan yang lurus, jadi kami (pelumba) perlu bekerja keras membuat persiapan menghadapinya,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan berkenaan hari ini.

“Tahun lepas catatan kelajuan tertinggi kami tidak berapa baik di litar itu, tapi kami masih boleh naik podium, ini bermakna kekuatan kami adalah dalam aspek lain pada perlumbaan itu,” kata pelumba berumur 21 tahun dari Perancis itu. – Bernama