BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Untuk mempersiapkan diri bagi orang ramai khususnya rakyat Brunei Darussalam dalam menempuhi bulan Ramadan dengan
sempurna, Nadi Quranic Learning Centre telah mengadakan Program Road To Ramadan secara dalam talian, baru-baru ini.
Program yang juga diadakan untuk meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan niat dalam perlaksanaan ibadah puasa itu disertai oleh seramai 259 orang.
Semasa program itu, ceramah bertajuk ‘Jutawan Ramadan’ telah disampaikan oleh penceramah undangan, Dr Widad binti Haji Abdul Aziz yang berkongsi tip bagaimana untuk menjadi jutawan di bulan Ramadan.
“Untuk menjadi ‘jutawan Ramadan’ adalah kaya hati bukan kaya property (harta),” ujar beliau.
Antara tip yang dikongsi-kan adalah dengan memperkukuh niat untuk terus meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan, fokus serta memberikan komitmen yang tinggi dalam memperbanyak amal ibadat dan selalu membuat yang terbaik dalam beramal ibadat bukan seadanya sahaja.
Dengan adanya program seperti ini, Nadi Quranic Learning Centre amat berharap agar ia memberi suntikan semangat kepada orang ramai dalam mempersiapkan diri dan menjadikan Ramadan tahun ini cukup bermakna serta untuk menjadi jutawan sebenar dalam Islam bulan Ramadan yang mulia ini dalam pelbagai aspek seperti rohani, jasmani, emosi dan intelektual.