Petugas, banduan penjara Labuan negatif COVID-19

LABUAN, 19 NOV – Seramai 118 petugas dan 326 banduan di Penjara Labuan disahkan negatif COVID-19, kata Pengarah Pusat Koreksional Labuan Abd Rauf Lang Pasih.

Beliau berkata ujian saringan ke atas semua petugas dijalankan dua minggu lepas manakala banduan pula menjalani ujian kelmarin.

“Dalam usaha mencegah penularan virus, kami melakukan saringan ke atas semua petugas pelbagai pangkat dan kedudukan dua minggu lepas.

“Kami gembira setelah mendapati keputusan ujian ke atas semua petugas adalah negatif dan ini sudah tentu melegakan kami untuk melaksanakan tugas dengan lancar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abd Rauf berkata ujian saringan ke atas banduan adalah inisiatif daripada Jabatan Kesihatan Labuan dengan kerjasama pegawai pusat koreksional.

“Kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalankan tugas rutin kami terhadap banduan dan ia membantu kami rasa lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata inisiatif untuk menjalankan ujian saringan massa ke atas banduan adalah sebahagian daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif (ACD) di pulau bebas cukai berkenaan.

“Kami telah selesai melakukan saringan ke atas petugas dan banduan yang dijalankan di pusat tersebut dan kami harap telah melaksanakan tanggungjawab kami,” katanya. – Bernama

Anggota Polis Diraja Malaysia bekerjasama dengan petugas kesihatan membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan saringan kesihatan penumpang feri yang baru tiba dari Menumbok Sabah di Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Pulau bebas cukai itu turut menjalankan ujian ke atas banduan sebahagian aktiviti pengesanan ACD. – Bernama