Petugas barisan hadapan ABDB dihargai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Dengan negara terus berusaha untuk menangani gelombang kedua penularan pandemik COVID-19, Royal Brunei Culinary (RBC) amat menghargai dan mengiktiraf segala usaha serta dedikasi kakitangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang terus beroperasi dan teguh melaksanakan tugas menangani pandemik berkenaan.

Sehubungan itu, RBC dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa pada 30 September, mereka telah membekalkan sebanyak 121 pek makanan dan air mineral bagi petugas-petugas barisan hadapan ABDB yang berkhidmat tanpa penat lelah untuk memastikan negara selamat.

Kakitangan RBC turut membantu mengagih-agihkan pek makanan di pelbagai lokasi seperti di Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong dan Bangunan Tambahan Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong.

RBC berharap tanda penghargaan itu akan memberikan manfaat kepada mereka dalam menentang COVID-19.

Kakitangan ABDB yang merangkumi doktor, jururawat, kakitangan bantuan perubatan, kakitangan sekuriti dan kakitangan sokongan dari unit masing-masing terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan keselamatan semua yang terkesan oleh penyakit itu.

Salah seorang kakitangan RBC menyerahkan pek makanan kepada petugas ABDB di pusat pengasingan negara. – Gambar serahan RBC