Petugas barisan hadapan terima sumbangan teh tarik

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 3 OKT – Peniaga kecil-kecilan dari rumah seperti Teh Tarik Pandan juga tidak ketinggalan dalam sama-sama memberi sumbangan kepada para petugas barisan hadapan yang berusaha membendung penularan COVID-19, dengan menyumbangkan pelbagai minuman, baru-baru ini.

Sebanyak 150 botol minuman sumbangan Teh Tarik Pandan telah diagihkan kepada para petugas barisan hadapan di pusat vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas serta pusat pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong.

Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Dayang Siti Rafeah binti Ahmad dan keluarga serta Dayang Murfiqah binti Mohd Zainal Abdin, Awang Mohd Azizi bin Hamdan berserta keluarga yang bersama-sama menghasilkan minuman berkenaan di kedai rumah mereka.

Kumpulan berkenaan berharap bahawa sumbangan itu bukan sahaja membantu menceriakan para petugas barisan hadapan malah meningkatkan penghargaan atas usaha berterusan mereka dalam membantu membendung penularan wabak di negara ini.

Mereka juga merancang untuk terus memberikan sumbangan serupa di Daerah Tutong dan Belait pada masa hadapan.

Sumbangan Teh Tarik Pandan yang diserahkan kepada pusat pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Temburong baru-baru ini. – Gambar serahan Muhammad Ali bin Hassan