Petugas barisan hadapan terus dihargai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Sebagai tanda penghargaan atas usaha dan khidmat petugas barisan hadapan dalam menangani gelombang kedua penularan wabak COVID-19, Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam menghulurkan sumbangan pek makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan di pusat swab BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe menyatakan perasaan gembira kerana dapat menghulurkan sumbangan tersebut kepada petugas-petugas barisan hadapan di pusat swab BRIDEX. Beliau juga menyatakan rasa terharu setelah mengetahui bahawa terdapat beberapa orang anggota tentera British yang telah dikerahkan ke BRIDEX untuk menyokong usaha negara memerangi COVID-19.

“Terima kasih sekali lagi kepada petugas-petugas barisan hadapan yang terus memastikan kita selamat,” kata TYT John Virgoe.

Sumbangan pek makanan berkenaan diserahkan oleh wakil daripada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam di mana sebanyak 50 pek makanan disediakan oleh pasukan kulinari Suruhanjaya Tinggi British. Sumbangan itu dibuatkan setiap minggu pada setiap hari Selasa bagi tempoh empat minggu dan kali ini merupakan kali kedua ia diadakan setelah dikendalikan minggu lalu.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe ketika bergambar bersama pasukan kulinari Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam yang berusaha menyediakan sumbangan pek makanan untuk petugas-petugas barisan hadapan di Pusat Swab Bridex, Jerudong, kelmarin. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam.
Wakil dari Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam semasa menyampaikan sumbangan di pusat swab BRIDEX. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam