Petugas kesihatan dikerah ke S’wak kekang peningkatan COVID-19

KUCHING, 13 APRIL – Kira-kira 500 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dimobilisasi ke Sarawak dalam masa terdekat ini bagi membantu negeri itu mengekang peningkatan kes COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata mobilisasi itu melibatkan kakitangan KKM dari negeri dan bahagian lain di Sarawak yang berada dalam zon hijau merangkumi doktor, jururawat, pembantu perubatan, pegawai makmal, radiologi dan mereka yang melakukan ujian pantas di lapangan.

“Apabila kita melakukan pengesanan kontak di kawasan pedalaman tempat wabak itu tercetus, kita memerlukan ramai kakitangan untuk membuat aktiviti saringan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt) di Sarawak, Dr Adham berkata pada hari ini ia telah meningkat kepada 1.1 berbanding 1.08 pada semalam.

“Untuk Sarawak, kita telah beri jaminan memandangkan Rt 1.1, bermakna untuk Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini, ia (pengagihan vaksin) perlu diberi pertimbangan yang lebih serius bagi melindungi semua rakyat,” katanya.

Dr Adham berkata berdasarkan pemantauan dan analisis yang dijalankan setakat ini, terdapat trend peningkatan kes harian COVID-19 di Sarawak, bermula pada 9 Januari lepas. Berhubung lawatan di stadium berkenaan, Dr Adham berkata Sarawak sudah mara setapak lagi apabila sudah pun melaksanakan ‘Massvaccination Centre’, walaupun dalam fasa pertama, pihaknya hanya menggunakan pusat pemberian vaksin.

“Ini perkembangan yang sihat dan menunjukkan persediaan Sarawak lengkap dan mampu untuk memberi vaksinasi sehingga 40,000 orang sehari dalam negeri ini,” katanya. – Bernama

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba meninjau orang ramai yang hadir bagi mendapatkan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin, Stadium Perpaduan. Hampir 500 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dimobilisasi ke Sarawak dalam masa terdekat ini bagi membantu negeri itu menangani peningkatan kes COVID-19. – Bernama