Petugas, sukarelawan PBSM dilindungi takaful

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan, kebajikan dan kemaslahatan semua petugas dan sukarelawan yang berdaftar di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, mereka diberikan latihan asas berhubung dengan pengendalian tugas yang diperlukan mengikut terma rujukan dan prosedur operasi standard yang ketat.

Di samping itu, mereka juga dilindungi oleh insurans berkelompok yang komprehensif disediakan Takaful Brunei Am (TBA).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PBSM, Group Personal Accident yang disediakan itu adalah perlindungan komprehensif yang melindungi semua petugas dan sukarelawan di bawah PBSM menerusi satu kolaborasi bersama.

Perlindungan insurans itu adalah salah satu keutamaan dan keistimewaan yang disediakan kepada semua petugas dan sukarelawan PBSM dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan mereka yang bertugas di barisan hadapan yang berdepan dengan keadaan yang sukar dalam sama-sama memberikan perkhidmatan sukarela untuk mengekang merebaknya wabak pandemik COVID-19 di Brunei Darussalam.

PBSM Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah organisasi yang terawal membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak COVID-19 sejak 7 Ogos lalu.

Lebih 100 orang petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang berdaftar di bawah PBSM telah ditugaskan di beberapa buah pusat pengasingan di seluruh negara serta beberapa tempat lain di bawah kendalian Kementerian Kesihatan.