Peugeot 208 model supermini hebat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Pengamal media tempatan hari ini berpeluang melihat lebih dekat serta menguji pandu kehebatan kereta sporty, supermini yang kembali diperkenalkan ke pasaran Brunei, Peugeot 208 dari Bilik Pameran Peugeot, TCY Motors Sdn Bhd di Kiarong.

Kereta yang ditawarkan dengan harga kilang mampu milik itu hanya terhad kepada 12 unit sahaja, mempunyai enjin tiga silinder 1.2 liter turbo, juga menawarkan ciri-ciri premium dan sporty di dalamnya.

Eksekutif Pemasaran Peugeot, John Tan ketika menyampaikan taklimat ringkas kepada pengamal media, menjelaskan enjin kereta tersebut pernah memenangi anugerah sebanyak tiga kali bagi ciri pembakaran bahan api yang ekonomi, hanya tiga liter bagi setiap 100km dan mengeluarkan hanya 79g karbon dioksikda setiap satu kilometer.

Peugeot 208 sesuai untuk orang muda yang mencari kereta kecil, mempunyai ciri sporty dan dalam masa yang sama mampu milik buatan Eropah, menurut John.

Dengan saiz supermini, ia masih mempunyai ruang mencukupi dan selesa di bahagian tempat duduk dan ruang bonet lebih kurang sama dengan kereta bersaiz sedan.

John juga mengongsikan Puegeot 208 didatangkan dengan tayar rim Titanium Matte Black 16 inci yang menarik bentuknya bagi semua unit standard. Manakala lampu belakangnya dicirikan tiga garis 3D melambangkan cakaran singa, sepadan dengan logo Peugeot.

Bahagian kokpit pula mempunyai i-Cockpit yang lebih inovatif rekaannya, memastikan pemanduan mantap dan selamat, manakala skrin sentuh 7 inci menyediakan akses mudah kepada sistem suara, telefon dan maklumat kenderaan yang dilengkapi ciri-ciri Bluetooth dan port USB.

Bagi mereka yang ingin melihat dan menguji kereta tersebut, bolehlah berkunjung ke bilik pameran Peugeot.

Peugeot 208 tampak hebat dan dengan gelaran supermini, ia menawarkan ciri-ciri premium dan sporty.