Pfizer 98.9 Peratus berkesan cegah kematian COVID-19

BAITULMAQDIS, 21 FEB – Kementerian kesihatan Israel mengatakan data baru-baru ini dari kempen vaksinasi koronavirus secara agresifnya menunjukkan dua dos Pfizer dan BioNTech hampir 96 peratus berkesan terhadap jangkitan COVID-19.

Kempen vaksinasi Israel dianggap sebagai yang terpantas di dunia, dengan satu dos vaksin Pfizer dan BioNTech diberikan kepada 4.25 juta orang dari sembilan juta penduduknya sejak bulan Disember, menurut angka kementerian kesihatan terbaharu.

Sebanyak 2.88 juta orang telah menerima dua dos vaksin sepenuhnya.

Kementerian kesihatan mengatakan semalam vaksin tersebut telah terbukti 95.8 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan koronavirus di antara mereka yang diberi suntikan vaksin dua minggu setelah menerima suntikan kedua me-reka dibandingkan dengan orang yang tidak beri vaksin, menurut data yang dikumpulkan hingga 13 Februari.

Ia menambah suntikan vaksin itu 99.2 peratus berkesan terhadap pesakit serius dan 98.9 peratus berkesan mencegah kematian.

Bagi mereka yang diuji satu minggu setelah menerima suntikan kedua, vaksin 91.9 peratus berkesan melawan jangkitan, 96.4 peratus berkesan mencegah penyakit serius dan 94.5 peratus lagi mencegah kematian.

“Matlamat kami adalah untuk terus memberi vaksin kepada seluruh penduduk kami yang berumur 16 tahun ke atas, untuk mencapai liputan luas dari populasi yang akan membolehkan kami kembali melakukan rutin kami,” kata Ketua Pengarah kementerian kesihatan Hezi Levi dalam satu kenyataan semalam.

Vaksin yang dikembangkan oleh syarikat gergasi farmasi AS Pfizer dan rakannya dari Jerman BioNTech berdasarkan teknologi mRNA baharu dan merupakan vaksin pertama terhadap COVID-19 yang diluluskan di Barat akhir tahun lalu.

Israel, yang memiliki salah satu sistem data perubatan yang paling canggih di dunia, memperoleh banyak stok vaksin Pfizer dan BioNTech dengan membayar di atas harga pasaran dan dengan membuat perjanjian perkongsian data dengan syarikat AS. – AFP

Vaksin Pfizer dan BioNTech kelihatan di dalam peti sejuk beku di Cali, Colombia, Vaksin Pfizer dan BioNTech dikatakan 98.9 peratus berkesan mencegah kematian COVID-19. – AFP