Pfizer berkesan cegah jangkitan selama 6 bulan

PARIS, 5 OKT – Suntikan vaksin Pfizer sebanyak dua dos didapati berkesan dalam mengekang jangkitan COVID-19 yang teruk – termasuk varian Delta – bagi tempoh selama enam bulan, menurut analisis pesakit AS kelmarin.

Melihat kepada rekod daripada hasil kajian penyedia perkhidmatan kesihatan dan Pfizer, menunjukkan 3.4 juta penduduk di selatan California dengan satu pertiga daripadanya telah melengkapi vaksinasi mereka antara Disember 2020 hingga Ogos 2021 lalu.

Selepas purata tempoh antara tiga hingga empat bulan, individu yang lengkap vaksinasinya didapati masih mempunyai perlindungan sebanyak 73 peratus bagi menentang jangkitan dan 90 peratus dapat menghindari daripada dimasukkan ke dalam hospital.

Walaupun perlindungan terhadap jangkitan dari varian Delta menurun sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima bulan, peratus penghindaran daripada dimasukkan ke hospital yang melibatkan semua kes varian kekal tinggi sepanjang kajian dijalankan.

Kajian tersebut, adalah selaras dengan data awal daripada AS dan pihak berkuasa kesihatan Israel.

Pengurangan kadar perlindungan daripada jangkitan berkemungkinan berpunca daripada penurunan keberkesanan vaksin tersebut, berbanding kes varian yang imun terhadap vaksin, menurut penulis.

Pada bulan Ogos, AS meluluskan pemberian dos penggalak COVID-19 kepada individu yang mempunyai masalah sistem pertahanan badan, manakala Perancis mengagihkan dos penggalak kepada golongan warga emas.

WHO menekankan pemberian dos penggalak ditangguhkan untuk sementara waktu sehingga hujung tahun ini bagi menyelesaikan permasalahan ketidakadilan dalam pengagihan vaksin antara negara kaya dan miskin. – AFP

Gambar jururawat menyediakan dos vaksin Pfizer-BioNtech dalam pusat vaksinasi di Derby, England. – AFP