Pfizer tawar 40 juta dos vaksin untuk negara miskin

GENEVA, 24 JAN – Pfizer mengumumkan bahawa ia akan memperuntukkan sehingga 40 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara lebih miskin menerusi pusat Covax.

Sementara puluhan negara lebih kaya di dunia telah memulakan kempen vaksinasi dalam usaha untuk mengawal pandemik, suntikan koronavirus kurang dilakukan di negara lebih miskin dunia. Covax, bertujuan memastikan negara pendapatan rendah boleh mendapatkan dos vaksin juga, berharap dapat menghantar vaksin pertamanya pada Februari.

Covax dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Gavi, Perikatan Vaksin. Vaksin Pfizer-BioNTech ialah satu-satunya vaksin setakat ini yang telah menerima kelulusan penggunaan kecemasan daripada WHO.

Negara membangun harus mempunyai ‘akses yang sama kepada vaksin sama seperti negara lain di seluruh dunia,’ beritahu pengerusi Pfizer Albert Bourla pada sidang media maya.

“Kami akan menyediakan vaksin kepada Covax untuk negara berkenaan tanpa keuntungan.

Ketua eksekutif Gavi, Seth Berkley berkata hampir 150 juta dos vaksin AstraZeneca-Oxford bersedia untuk dihantar menerusi Covax, sementara menunggu kelulusan penggunaan kecemasan daripada WHO, yang dijangka berlaku pada pertengahan Februari.

Covax masih perlu memuktamadkan perjanjian bekalan untuk vaksin Pfizer-BioNTech.

Berkley berkata Covax boleh memperoleh 2.3 bilion dos vaksin pada tahun ini, yang menurutnya bersamaan dengan 1.8 bilion dos untuk 92 negara paling miskin – cukup untuk memvaksinkan kira-kira 27 peratus daripada jumlah penduduk, peningkatan daripada sasaran awal. – AFP

Gambar fail menunjukkan kotak mengandungi vaksin Pfizer-BioNTech bersedia untuk dihantar di kilang pengeluaran Pfizer Kalamazoo di Portage, Michigan. Pfizer akan membekalkan 40 juta dos vaksin kepada 92 negara miskin. – AP