PFNBD laksana ibadah korban

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sempena Hari Raya Aidiladha yang mula diraikan umat Islam di negara ini, hari ini, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) tidak ketinggalan dalam mengungkayahkan majlis ibadah korban.

Majlis diadakan di kediaman salah seorang ahli jawatankuasa tertinggi PFNBD, Haji Ali Hamzah bin Haji Gafar di Kampung Bengkurong.

Majlis korban pertubuhan tersebut adalah acara tahunan di mana pada tahun ini ia merupakan kali kelapan ia diadakan dalam usaha untuk mengeratkan lagi tali persahabatan sesama ahli di samping mengamalkan sunah yang sangat dituntut oleh agama Islam.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pengagihan daging korban tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Juga hadir ialah Yang Di-Pertua PFNBD, Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor.

Pada tahun ini, tiga ekor kerbau dikorbankan untuk diagihkan kepada warga setempat yang layak menerimanya.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis berkenaan.