Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    PFNBD lantik yang dipertua baharu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Awang Yusma Bahrin bin Dato Paduka Haji Mohd Yusof telah mendapat sokongan penuh dan dilantik menjadi Yang Di-Pertua Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) bagi sesi 2023 hingga 2024 semasa mesyuarat agung yang berlangsung pada 1 Disember lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PFNBD, di sini, mesyuarat agung itu diadakan dua tahun sekali di mana antara atur cara mesyuarat ialah pembubaran ahli jawatankuasa 2020-2022 dan seterusnya pengundian dan pelantikan yang dipertua baharu bagi 2023 hingga 2024.

    Sebelum pembubaran ahli-ahli jawatankuasa dirasmikan, yang dipertua selaku pengerusi acara iaitu Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor memaklumkan bahawa beliau tidak akan bertanding bagi jawatan yang dipertua yang baharu, malah beliau mengharapkan ahli muda belia yang berwibawa serta mempunyai sifat kepimpinan baharu untuk menerajui pertubuhan berkenaan.

    Pada majlis itu, Awang Yusma Bahrin berani menyahut cabaran dan beliau mendapat undian sepenuhnya daripada ahli-ahli yang hadir serta disahkan sebagai yang dipertua baharu. Selepas acara penyerahan tugas dijalankan, Awang Yusma Bahrin dalam ucapan perdananya melantik Haji Hamidun sebagai penasihat dan seterusnya mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli yang menyokong serta memberikan kepercayaan kepadanya.

    Beliau seterusnya mengharapkan kerjasama padu daripada semua ahli dalam apa jua aktiviti atau projek yang mendatang serta akan memaklumkan lantikan ahli-ahli jawatankuasa baharu dalam waktu yang terdekat.

    Haji Hamidun menyerahkan tugusan kepada Yang Di-Pertua PFNBD baharu. – Gambar serahan PFNBD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...