Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    PFNBD rai Sambutan Aidilfitri rapat silaturahim

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Amri HMS

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus diraikan dengan penuh kemeriahan di mana ia memberikan peluang untuk merapatkan lagi talian silaturahim, persahabatan dan kekeluargaan.

    Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Aiko Sushi, Kiulap, kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pertubuhan berkenaan, di sini, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, Yang Di-Pertua PFNBD, Awang Hamidun bin Haji Mohd Noor dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang tidak kendur-kendur menyokong apa jua kegiatan anjuran pihak pertubuhan serta juga terus berusaha memajukan pertubuhan supaya ia terus relevan hingga hari ini.

    Yang Di-Pertua, penasihat dan ahli-ahli PFNBD bergambar ramai bersama ahli keluarga pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Aiko Sushi, Kiulap.
    Yang Di-Pertua, penasihat dan ahli-ahli PFNBD bergambar ramai bersama ahli keluarga pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Aiko Sushi, Kiulap.

    “Dalam usia yang hampir menempuh 50 tahun penubuhannya, sememangnya banyak cabaran yang dihadapi, akan tetapi dengan sikap dan kerjasama dari semua ahli, ia akan dapat dihadapi dengan jayanya,” tambah beliau.

    Majlis itu dihadiri oleh ahli-ahli pertubuhan, para penasihat dan ahli keluarga termasuk penasihat-penasihat pertubuhan iaitu Haji Jumat bin Haji Taha dan Haji Mohd Yusof bin Mohd Yassin.

    Acara sambutan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh ahli Jawatankuasa PFNBD, Awang Shahrul Azrimin bin Haji Bidin. Majlis diserikan dengan cabutan bertuah, sesi bergambar ramai dan ramah mesra di antara ahli-ahli pertubuhan dan para jemputan di majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda