PGA kaji anjur Piala Ryder tanpa peminat

LOS ANGELES, 21 APRIL – Ketua eksekutif PGA, Seth Waugh berkata pertubuhannya sedang mengkaji kemungkinan mengadakan Piala Ryder pada tahun ini tanpa kehadiran penonton kerana pandemik koronavirus.

Waugh memberitahu radio WFAN bahawa sementara Piala Ryder diadakan tanpa peminat adalah ‘sesuatu yang sukar dibayangkan,’ pegawai PGA sedang mencari jalan jika kejohanan tersebut boleh diadakan dengan ‘peminat maya’. Piala Ryder tahun ini – pertandingan dwitahunan yang dipertandingkan yang sengit untuk menentang pasukan Amerika Syarikat dan Eropah – dijadualkan akan diadakan di Whistling Straits, Wisconsin dari 25 September hingga 27 September.

Keramaian, kemeriahan peminat yang berpengaruh tidak dapat dipisahkan untuk menyaksikan kejohanan Piala Ryder, tetapi COVID-19 mungkin menyebabkan kejohanan tahun ini diadakan tanpa kehadiran peminat.

“Ia sukar dibayangkan tanpa peminat,” Waugh memberitahu WFAN. “Kami telah memulakan perbincangan mengenai sama ada kita boleh membuat pengalaman peminat maya, dan kami akan mencuba menjadi seberapa kreatif yang mungkin.

“Ia (masih) belum ditentukan, sejujurnya, ia boleh dilakukan tanpa peminat atau tidak…peminat adalah lambang Piala Ryder, dari satu segi.”

Ketua pasukan Piala Ryder Eropah, Padraig Harrington berkata awal bulan ini bahawa kejohanan sepatutnya dibatalkan jika peminat diarahkan untuk berada di rumah.

“Tiada sesiapa pun mahu Piala Ryder dimainkan tanpa kehadiran peminat,” katanya. “Tiada syak lagi ia membuatkan kejohanan lebih baik.

“Saya rasa sepatutnya Piala Ryder tidak akan dimainkan kecuali ada peminat.” – AFP

Gambar fail kapten AS Steven Stricker (kiri) bergambar bersama kapten Eropah Padraig Harrington (kanan) bersama Piala Ryder 1 Oktober 2019. Ketua eksekutif PGA sedang mengkaji kemungkinan mengadakan Piala Ryder pada tahun ini tanpa kehadiran penonton. – AFP