PGA rampas 1,361 karton minuman keras di Sibu

SIBU, 12 JULAI – Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu merampas 1,361 karton minuman keras disyaki tidak dibayar cukai dalam serbuan di sebuah stor di Jalan Oya lama di sini, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu, Supt Mohammad Hafiz Kadir berkata dalam serbuan itu, seorang wanita tempatan berumur 31 tahun dipercayai penjaga stor turut ditahan.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan ialah RM259,000 dan kesemua rampasan dan tangkapan telah diserahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata modus operandi penyeludup ini adalah menjadikan beberapa stor di pinggir bandar ini sebagai tempat penyimpanan barangan seludup untuk mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya selain minuman keras, stor-stor pinggir bandar ini juga dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan lain yang cuba dielak daripada dikenakan cukai seperti rokok dan mercun untuk tujuan edaran di sekitar bandar ini.

“Batalion 10 PGA Sibu akan meneruskan risikan dan siasatan untuk mengesan lokasi stor-stor lain di sekitar bandar ini yang berkemungkinan besar digunakan untuk menyimpan barangan yang tidak dibayar cukai,” katanya. – Bernama