PGA tumpas kegiatan seludup rokok

KALABAKAN, 12 JUN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 di sini menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok pelbagai jenama selepas penahanan dua lelaki tempatan di kawasan pemeriksaan daratan (RCP) di Jalan Tawau-Kalabakan, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk DCP Hazani Ghazali berkata dua lelaki berusia 20 dan 42 tahun itu ditahan anggota PGA yang sedang bertugas di RCP Kalabakan antara pukul 3 hingga 4 petang.

“Ketika kejadian, sepasukan anggota PGA yang sedang melakukan tugas rutin didatangi dua van dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau dan mahu menghala ke Keningau.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua van menemukan 7,620 karton rokok
pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM464,800 dan dipercayai tidak mempunyai kelulusan cukai kastam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Hazani berkata, rokok yang ditemui itu disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran daerah Keningau. – Bernama