PGGMB anjur majlis Doa Kesyukuran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena 80 Tahun Penubuhan PGGMB yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu pejabat PGGMB, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Dipertua PGGMB, Haji Yussof bin Haji Awang Mohamad. Majlis juga dihadiri oleh kira-kira 100 orang ahli PGGMB termasuk guru-guru besar, guru-guru dan kakitangan pejabat dan sekolah-sekolah PGGMB. Turut diundang ke maj-lis berkenaan ialah beberapa orang ahli-ahli lama yang pernah menganggotai Jawatankuasa Tertinggi (JKTT) PGGMB dalam tahun 1980an.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan disusuli dengan Bacaan Tahlil dan Doa Kesyukuran, yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Agama PGGMB, Haji Rusli bin Haji Mohd Salleh. Majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan diakhiri dengan penyampaian sumbangan penghargaan kepada mantan ahli-ahli JKTT PGGMB (2016-2019).

PGGMB ditubuhkan pada 1937 dan didaftarkan secara rasminya pada 1939, yang merupakan sebuah persekutuan guru-guru Melayu yang tertua di Negara Brunei Darussalam dan di rantau ASEAN, dengan wawasan sebagai sebuah persekutuan Melayu yang dedikasi dalam meningkatkan kesejahteraan dan memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan ahli-ahli serta bangsa Melayu.

Haji Yussof bersama warga PGGMB ketika menghadiri majlis tersebut. – Gambar oleh PGGMB