Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Sumbangan berjumlah lebih $27,000 telah disampaikan kepada 25 orang ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) pada Majlis Penyampaian Derma Kebajikan, semalam.
Sumbangan berkenaan dihulurkan oleh Syarikat Jimat Cermat Kerjasama dan Bantu Membantu (SKS & BM) PGGMB melalui derma kebajikan.
Majlis juga telah diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kebakaran berjumlah $1,000 kepada salah seorang keluarga ahli yang mana sumbangan berkenaan dikutip daripada ahli-ahli PGGMB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyampaikan sumbangan derma berkenaan ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad. SKS & BM telah didaftarkan pada tahun 1953 dan dianggarkan sudah menghulurkan bantuan derma kebajikan kepada ahli-ahli PGGMB berjumlah lebih kurang $110 juta.

Derma kebajikan itu dikhususkan adalah bagi membantu ahli-ahli yang memerlukan bantuan kewangan. Sumbangan derma tersebut adalah berbentuk derma kematian, derma kahwin dan derma menunaikan ibadat Haji.
Majlis yang diselenggarakan oleh Badan Kebajikan PGGMB itu bertujuan untuk memeduli kebajikan ahli serta ahli keluarga mereka dalam pelbagai bantuan dan sokongan, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim seluruh keluarga PGGMB.
Majlis juga bertujuan untuk mengharapkan kelebihan dan ganjaran pahala dan keberkatan dari Allah S.W.T.