PGGMB kibar bendera kebangsaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) tidak ketinggalan untuk memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 dengan mengadakan Acara Menaikkan Bendera Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, yang berlangsung di Sekolah PGGMB Kampung Sungai Akar, kelmarin.

Acara dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan upacara menaikkan bendera oleh dua orang penuntut sekolah, dengan diiringi lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Hadir pada majlis itu ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Yussof bin Haji Mohamad, ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan tadbir PGGMB, guru besar, guru-guru dan para pelajar Sekolah PGGMB Sungai Akar.

Majlis itu bermatlamat untuk menanamkan semangat taat dan cinta kepada tanah air, bermula daripada murid-murid sekolah dengan menghayati erti tema Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-36, ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

Acara Menaikkan Bendera
Kebangsaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-36 di Sekolah PGGMB Kampung Sungai Akar. – Gambar serahan PGGMB