Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Dengan matlamat untuk memilih calon-calon bagi memenuhi tiga daripada lima jawatan tertinggi, Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) mengadakan Majlis Pengundian bagi Pemilihan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) baharu PGGMB bagi sesi 2019-2022, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PGGMB, di sini, hari ini, majlis pengundian berkenaan telah diadakan di tiga buah pusat mengundi iaitu Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar bagi Daerah Brunei dan Muara, Dewan Sekolah Rendah Keriam, Kampung Keriam, bagi Daerah Tutong dan Dewan Sekolah Tunas Jaya PGGMB, Jalan Pandan, bagi Daerah Belait.
Sementara itu, pengundian bagi Daerah Temburong dibuat melalui setiausaha-setiausaha cawangan di seluruh daerah berkenaan.
Kenyataan menyatakan bahawa pengundian diadakan secara serentak di keempat-empat daerah bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 4 petang.
Seramai 1,400 orang ahli PGGMB dijangka keluar mengundi untuk memilih calon-calon bagi memenuhi tiga jawatan tertinggi yang dipertandingkan iaitu yang dipertua, timbalan yang dipertua dan pengerusi tetap.
Manakala itu, tambah kenyataan, jawatan-jawatan setiausaha agung dan setiausaha kewangan tidak dipertandingkan kerana terdapat hanya seorang calon bagi setiap jawatan berkenaan dan tidak perlu dipertandingkan.
Pemilihan AJKT PGGMB diadakan setiap tiga tahun, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang persekutuan berkenaan dengan keputusan pemilihan akan diumumkan pada Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-69 bagi tahun 2018-2019 yang akan diadakan pada 10 November nanti di Sekolah PGGMB, Sungai Akar.
