PH formula terbaik Sarawak – Mohamad Sabu

SIBU, 10 NOV – Gabungan empat parti politik yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) merupakan formula terbaik untuk memerintah Sarawak selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata, ini kerana PH yang terdiri daripada PKR, DAP, BERSATU dan AMANAH dianggotai rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, rakyat Sarawak semakin yakin dengan PH selepas kejayaan mengambil alih pucuk pimpinan negara selepas pilihan raya umum lalu.

“Bagi Sarawak, Pakatan Harapan merupakan formula terbaik kerana mewakili semua suku kaum,” katanya semasa berucap pada majlis Makan Malam ‘Memenuhi Harapan, Mendukung Aspirasi’ di sini malam tadi.

Beliau berkata, AMANAH yang merupakan antara parti komponen PH mendapat sambutan menggalakkan daripada pengundi-pengundi di Sarawak pada PRN yang lalu.

“Ujian pertama AMANAH walapun baru tak sampai setahun ditubuhkan telah bertanding di 13 kerusi (DUN) terutama di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu BN menang percuma. Beberapa DUN kita tidak hilang wang pertaruhan dan pilihan raya Parlimen pula undi kita perolehi amat memberangsangkan.

“Pada pilihan raya itu pula undi kita perolehi amat memberansangkan dan pilihan raya tahun depan insya Allah AMANAH dan Pakatan Harapan akan ambil alih pentadbiran Sarawak”, tegasnya. – Bernama

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (dua, kiri) yang juga Presiden Parti Amanah Nasional beramah mesra bersama para perwakilan yang hadir pada Konvensyen Parti Amanah Negeri Melaka baru-baru ini. – Bernama