PETALING JAYA, 15 JULAI – Pharmaniaga Bhd akan mengkomersialkan ubat anti-koagulan (pencair bekuan darah) ovin (biri-biri dan kambing) halal Malaysia menjelang 2024.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kerjasama syarikat dengan Suzhou Ronnsi Pharma Co Ltd (Ronnsi) China akan menjadi pemangkin laluan perdagangan produk farmaseutikal dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi ubat anti-koagulan tersebut.
“Pertama, kami akan menghasilkan bahan mentah untuk produk ini yang diperoleh daripada biri-biri dan kambing. Inisiatif ini boleh dijalankan dengan universiti tempatan yang mempunyai fakulti veterinar seperti Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan.
“Ini peluang baik kepada Pharmaniaga untuk mengeluarkan produk anti-koagulan ovin halal,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ronnsi di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Zulkarnain dan Ketua Pegawai Eksekutif Ronnsi, Yao Yiming.
Zulkarnain berkata penggunaan ubat anti-koagulan di Malaysia telah mencatatkan peningkatan mendadak sejak 2021 sehingga 2022, dan penggunaannya telah diperluas untuk mengelak komplikasi buruk penyakit COVID ketika pandemik.
“Menurut ramalan pasaran daripada Data IQVIA 2021 bagi anti-koagulan melalui Laporan Pasaran Malaysia, asas bagi data khusus merentasi ekosistem penjagaan kesihatan, ia menunjukkan pasaran tersebut dijangka mencecah lapan juta unit dos menjelang 2026,” katanya sambil memaklumkan nilai pasaran global hampir mencapai AS$5 bilion.
Beliau berkata pada masa ini, anti-koagulan yang berada di pasaran adalah tidak halal kerana berasaskan porsin atau diperoleh daripada usus babi. – Bernama