Phil Foden wira Citizens

MANCHESTER, 14 JAN – Jaringan Phil Foden menjulang Manchester City ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam ketika pasukan bimbingan Pep Guardiola berdepan cabaran sengit untuk menewaskan Brighton 1-0.

Ramai memperkatakan mengenai persaingan dua pendahulu teratas liga, Manchester United dan Liverpool, City dilihat turut mempunyai keupayaan merebut gelaran liga musim ini.

Juara liga 2018 dan 2019 itu memulakan musim ini dengan hambar namun memperoleh rentak terbaik mereka kembali dengan kemenangan sejak beberapa minggu lalu dan kini hanya satu mata di belakang Liverpool dan masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

City beraksi tanpa penyerang terbaik mereka menentang skuad bimbingan Graham Potter, namun di sebalik gagal membariskan pasukan utama, jaringan tunggal Foden pada separuh masa pertama sudah memadai untuk meraih tiga mata penuh.

“Kami tahu betapa sukarnya perlawanan itu. Barisan pemain Brighton mempunyai kekuatan mental yang tinggi,” kata Guardiola.

“Kami beraksi dengan baik pada separuh masa pertama dan memperolehi beberapa peluang baik pada separuh masa kedua.

“Kami perlu mencatatkan kemenangan dengan cara seperti ini. Ia memberi pengajaran kepada pemain. Setiap perlawanan akan sama sahaja seperti ini,” tambahnya.

Leandro Trossard dari Brighton mempunyai peluang untuk menguji Ederson yang kembali beraksi di gawang City tetapi peluangnya tersasar.

Ketika City menemui rentak mereka, pemain pertahanan Brighton, Joel Veltman beraksi dengan baik dan De Bruyne mempunyai peluang lima minit selepas rehat tetapi rembatannya berjaya diselamatkan.

Foden menyumbang gol di minit ke-44 selepas menerima hantaran cantik dari De Bruyne. – AFP

Aksi Phil Foden (kanan) dari Manchester City menjaringkan gol kemenangan semasa menentang Brighton di Stadium Etihad semalam. – AP