Philippine Airlines fail kemuflisan

MANILA, 5 SEPT – Philippine Airlines (PAL) berkata semalam ia telah memfailkan kemuflisan di Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan hutang berjumlah AS$2 bilion ketika ia berusaha bertahan dalam industri yang terjejas teruk oleh pandemik koronavirus.

Syarikat penerbangan Filipina itu berkata tindakan tersebut akan membenarkannya menyusun semula kontrak dan mengurangkan hutang sebanyak sekurang-kurangnya AS$2 bilion sementara mendapatkan AS$566 juta dalam modal baharu apabila ia pulih daripada proses penyusunan semula Bad 11.

PAL juga akan mengurangkan armada pesawatnya sebanyak 25 peratus dan merunding semula kontrak untuk mengurangkan bayaran sewa.

“Philippine Airlines akan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa sementara memuktamadkan penyusunan semula rangkaian, armada dan organisasi kami,” kata naib presiden dan ketua pegawai kewangan, Nilo Thaddeus Rodriguez dalam pesanan video.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dengan pembekal, pemberi pinjaman dan pemberi pajak, Rodriguez berkata PAL akan memperoleh AS$505 juta untuk melaksanakan pelan pemulihan. – AFP