WELLINGTON, 30 Mei – Kelab New Zealand, Wellington Phoenix melantik Mark Rudan sebagai jurulatih skuad ini untuk selama dua tahun semalam tatkala mereka bergelut untuk kekal di Liga A, Australia.
Phoenix menjelaskan Rudan, 42, sebagai ‘salah seorang jurulatih remaja Australia yang paling berpotensi,’ dengan menambah bahawa dia akan membawa semangat baharu kepada skuad itu.
“Kami adalah sebuah kelab bukan pilihan, kami tidak dapat menafikannya,” kata pengerusi Rob Morrison.
“Kami perlu berjuang untuk segala-galanya yang kami dapat dan kami mahukan seseorang yang akan menerima apa yang dihadapi oleh kelab dan mampu memimpin perlawanan itu. Kami rasa Rudan adalah orangnya.”
Skuad itu tidak mempunyai jurulatih kekal sejak Daruje Kalezic meletak jawatan pada Mac selepas kurang setahun mengendalikan skuad itu.
Kedudukan kurang baik skuad itu di liga Australia hanya boleh dijamin hingga akhir musim 2019-2020, ketika pentadbir Liga A mahukan keputusan yang lebih baik dan kehadiran untuk meneruskannya.
Anak kelahiran Sydney itu, Rudan adalah bekas pemain pertahanan dengan pengalaman kejurulatihan yang paling terbaharu adalah bersama Sydney dalam Liga Perdana kebangsaan di peringkat kedua.
Katanya dia melihat potensi besar di Phoenix.
“Telah menandatangani bagi skuad yang terdiri daripada kumpulan pemain berpengalaman Liga A termasuklah beberapa bakat muda yang menarik dalam Liga A,” katanya.
“Dan kami mempunyai dana bagi beberapa visa untuk pemain berkualiti yang sudah bersedia.”
Phoenix hanya menang lima dari 27 perlawanan musim ini dan cuba untuk mengelak daripada tersingkir setelah berada di tangga kedua tercorot. – AFP