Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Perlawanan pertama bagi kejohanan Piala Cabaran Bola Keranjang Aewon 2022 mula dipertandingkan di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru, Seria pada awal malam kelmarin.
Hadir sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan kejohanan tersebut ialah Pengurus Besar Aewon Sherwood Protective Apparel (B) Sdn Bhd, Justin Hong Ping Khiong. Turut mengalu-alukan Justin Hong ke gelanggang bola keranjang ialah Timbalan Pengerusi Pertama BDBA, Johnny Chong Fook Choi.
Dalam ucapan alu-aluannya, Johnny Chong menjelaskan bagaimana pandemik global sebelum ini telah memberi impak besar pada acara tahunan persatuan itu kerana Piala Aewon sebelum ini yang diadakan terpaksa ditangguhkan disebabkan wabak tersebut.
Beliau bagi pihak BDBA turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta pihak kerajaan kerana memberikan mereka kebenaran untuk menjadi tuan rumah dan menganjurkan pertandingan berkenaan.
Majlis diteruskan dengan pemain dan pengadil mengangkat sumpah diikuti dengan balingan bola dalam salah satu perlawanan oleh tetamu kehormat bagi merasmikan permulaan kejohanan tersebut.
Antara pasukan yang bersaing pada malam itu termasuk Wolves Basketball yang menentang CBA. Wolves mendahului jaringan mata di awal perlawanan dan terus beraksi cemerlang hingga ke suku ketiga dengan mencatat mata 47-28.
Pendahuluan Wolves Basketball kemudiannya tidak bertahan lama apabila CBA menjaringkan 30 mata dalam suku keempat, sekali gus menewaskan Wolves Basketball dengan skor akhir 54-58.
Manakala dalam perlawanan lain menyaksikan T Best Company & Services menang dengan jaringan 66-57 menentang Unity.