Piala Davis: Fish kapten pasukan AS

LOS ANGELES, 10 Jan – Bekas pemain nombor tujuh dunia, Mardy Fish telah terpilih sebagai kapten Amerika Syarikat (AS) bagi edisi pertama Piala Davis berwajah baharu, menurut pengesahan yang dibuat oleh Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) hari ini.

USTA berkata dalam satu kenyataan mengatakan Fish akan menggantikan Jim Courier untuk muncul sebagai kapten pasukan kali ke-41.

Fish akan memimpin cabaran pasukan lelaki AS pada kejohanan yang kini dirombak dan akan berlangsung di Madrid bermula 18 hingga 24 November depan.

“Sejak beraksi sebagai pemain profesional dan memahami apa dia Piala Davis serta keistimewaannya, malah sebagai seorang pemain, saya mahu menjadi kapten Piala Davis,” kata Fish dalam satu kenyataan.

“Saya seorang atlet dalam sukan individual. Saya menyukai aspek berpasukan dalam Piala Davis. Satu pengalaman yang mengembirakan apabila dilantik sebagai kapten,” tambahnya.

Courier menarik diri sebagai kapten AS selepas memimpin pasukan itu selama lapan tahun.

Fish, 37, mara ke suku akhir dalam tiga daripada empat acara Grand Slam dan memenangi keseluruhan 14 gelaran Jelajah ATP – enam dalam acara perseorangan dan lapan beregu sebelum bersara pada 2015.

Dia turut memenangi pingat perak dalam acara perseorangan pada Sukan Olimpik Athens 2004 dan bermain dalam 11 perlawanan Piala Davis, memenangi 11 rubber dan tewas lapan. – AFP

Gambar fail bertarikh 10 Oktober 2016 menunjukkan Mardy Fish ketika menyertai cabaran yang diadakan di Caesars Palace di Las Vegas, Nevada. – AFP