Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Piala FA bermula 6 Ogos

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Persatuan Bola sepak Brunei Darussalam (FABD) telah mengumumkan bahawa sebanyak 32 pasukan termasuk 15 daripada Liga Super Brunei (BSL) (Divisyen 1) dan 17 lagi daripada Liga Daerah (Divisyen 2) akan mengambil bahagian dalam Piala FA, hari ini.

    Setelah sekian lama Piala FA tidak dianjurkan sejak Kota Rangers dinobatkan sebagai juara pada tahun 2019, akhirnya ia akan kembali lagi pada 6 Ogos hingga 27 November tahun ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Bola sepak Tetap, Awang Morni bin Haji Zakaria berkata BSL telah diberhentikan berikutan dengan wabak COVID yang melanda negara.

    “Alhamdulilah, bermula 1 Jun, pihak berkuasa tertentu membenarkan aktiviti-aktiviti sukan diadakan termasuk bola sepak,” tambah Awang Morni.

    Sehubungan dengan itu, FABD melalui jawatankuasa pertandingan mengambil inisiatif untuk mengadakan Piala FA bagi tahun 2022 memandangkan musim BSL tidak dapat dilanjutkan.

    Awang Morni semasa membuat pengumuman mengenai perlawanan Piala FA yang akan diadakan pada Ogos nanti, sekali gus menjadi platform pencarian wakil negara untuk AFC 2023.

    Awang Morni mengatakan bahawa pemenang Piala FA akan layak mewakili negara dalam Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) 2023, di mana kekosongan tersebut kebiasaannya diisi oleh pemenang dalam liga domestik.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan bahawa menerusi inisiatif tersebut, ia dapat memberikan peluang kepada negara untuk menghantar juara Piala FA selaku wakil dalam Piala AFC 2023 nanti.

    Pertandingan tersebut akan dijalankan dengan format kumpulan, di mana empat pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan, dan setiap pasukan akan bermain sekurang-kurangnya dalam tiga perlawanan.

    Manakala itu, perlawanan suku akhir dan separuh akhir akan dijalankan dengan format timbal balik, tetapi ia tidak akan digunakan dalam perlawanan final nanti.

    Awang Morni juga mengatakan penonton mestilah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan melakukan ujian ART sebelum memasuki premis perlawanan.

    Beliau menambah bahawa pihak mereka telah memaklumkan pasukan-pasukan untuk membuat persiapan awal termasuk memberi mereka masa dalam merekrut anggota baharu.

    Sementara itu, cabutan undian dijangka akan diadakan pada 20 Jun ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...