Piala Presiden, Belia batal – FAM

KUALA LUMPUR, 2 SEPT – Mengambil kira soal keselamatan dan kesihatan pemain muda, rata-rata pasukan bersetuju dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC) Ab Rasid Jusoh berkata pihaknya percaya FAM telah berusaha melakukan perancangan dan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan kelulusan dalam memastikan kedua-dua pertandingan itu dapat dijalankan.

Namun, beliau mengakui pembatalan kedua-dua saingan itu tetap menyebabkan pembangunan akar umbi terus terbantut apabila pemain muda akan kehilangan minit permainan terutama selepas pertandingan itu turut terpaksa dibatalkan musim lepas.

“Satu kerugian juga kepada pemain Terengganu FC III dan Terengganu FC IV. Tapi atas sebab keselamatan dan kesihatan yang perlu diutamakan ketika ini, kami terpaksa akur dengan pembatalan ini,” katanya dalam kenyataan dikongsikan kepada media, hari ini. – Bernama