Piala Presiden, Belia dibatal buat tahun kedua

KUALA LUMPUR, 31 OGOS – Saingan Piala Presiden dan Piala Belia dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut ekoran pandemik COVID-19, umum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik, hal-hal pengoperasian serta keselamatan pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran pertandingan.

Keputusan itu juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut, yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain itu, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing juga pada tahap yang agak rendah ketika ini yang ia akan memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan mereka jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata beberapa perkara penting dalam penyediaan prosedur operasi standard (SOP) juga dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran.

Piala Presiden yang merupakan pertandingan bagi peringkat umur bawah-21 tahun dan Piala Belia (bawah-19), pada awalnya dijadualkan bermula dengan saingan peringkat kumpulan pada 3 Jun, sebelum ditangguh sehingga September berikutan kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). – Bernama