KUALA LUMPUR, 22 APRIL – Pemain beregu campuran profesional Malaysia, Shevon Lai Jemie sedia ‘dipisahkan’ dengan gandingannya Goh Soon Huat sekiranya langkah itu mampu memberi dimesi baharu buat skuad Malaysia pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China nanti.
Menurut Shevon, langkah itu bukan sahaja sebagai strategi pasukan tetapi juga memberikan pengalaman segar apabila beraksi bersama gandingan baharu.
“Jika pasukan mahukan kita untuk dipisahkan (dengan gandingan sedia ada), kita tiada masalah untuk melakukannya demi pasukan.
“Sebenarnya ia satu pengalaman yang baik kerana kita dapat mempelajari sesuatu menerusi pasangan baharu dan menyuntik nafas baharu ketika pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pusat di Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama, pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu sedia membantu pemain muda bagi menghadapi saingan kompetitif Piala Sudirman yang akan berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Xiamen, Gimnasium Fenghuang pada 27 April hingga 4 Mei ini.
Sementara itu, Shevon mengakui gandingannya bersama Soon Huat berada dalam prestasi terbaik menjelang kejohanan dwitahunan itu.
Beliau mengakui sangat berbangga kerana diberikan peluang mewakili negara ke Piala Sudirman buat kali ketiga dan mengakui tekanan tetap dirasai apatah lagi mereka kini menghuni ranking ketiga dunia dan beregu campuran utama Malaysia. – Bernama
