Piala Sultan Azlan Shah 2020 ditunda ke tahun depan

IPOH, 1 MEI – Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2020 ditunda ke tahun depan berikutan penularan wabak COVID-19 dan kelembapan ekonomi global.

Pengerusi jawatankuasa pengelola kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Arif berkata penangguhan kejohanan edisi ke-29 itu yang sebelum ini dijadual semula pada 23 September hingga 3 Oktober depan, telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Penularan COVID-19 menyebabkan pasukan-pasukan yang dijemput tidak dapat menjalani latihan sebagai persiapan untuk menyertai kejohanan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abd Rahim berkata jawatankuasa pengelola kejohanan juga berpendapat walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, perhimpunan secara besar-besaran mungkin tidak dibenarkan untuk tempoh enam bulan. Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 sepatutnya berlangsung dari 11 hingga 18 April di Stadium Azlan Shah di sini, sebelum ditunda ke tarikh baharu pada September. – Bernama