Piala Suzuki AFF ditangguhkan tahun depan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) baru-baru ini mengumumkan bahawa Piala Suzuki AFF 2020 akan ditunda hingga tahun depan kerana kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Kejohanan bola sepak ASEAN, perlawanan bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara, dijadualkan berlangsung pada bulan November ini tetapi keadaan pandemik yang semakin membimbangkan, yang terus merebak di rantau ini dan di seluruh dunia, menyebabkan penangguhan segera.

Dengan kesihatan dan keselamatan pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai menjadi keutamaan, Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF mengadakan perbincangan sebelum mengambil keputusan.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth mengatakan, “Sejak bermulanya COVID-19, AFF telah bekerja rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian-kementerian kesihatan, agensi-agensi kerajaan, FIFA dan AFC.”

Menurutnya, wabak itu terus menim-bulkan kebimbangan kesihatan, sosial dan ekonomi yang sangat besar sambil menambah bahawa keutamaan AFF adalah kesihatan dan keselamatan orang ramai dalam bola sepak dan mengurangkan risiko penularan wabak tersebut.

Perlawanan bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara bagi merebut Piala Suzuki AFF 2020 baru-baru ini diumumkan akan ditunda hingga tahun depan kerana kebimbangan penularan wabak COVID-19.

“Dengan risiko COVID-19 yang masih di tahap tinggi, AFF berada dalam situasi di mana kita tidak dapat meneruskan dengan selamat dengan Piala Suzuki AFF 2020,” tambahnya.

“Walaupun ini adalah masa yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk seluruh dunia termasuk keluarga dan komuniti bola sepak, kami yakin bahawa kita akan melaluinya bersama dengan sokongan semua pihak berkepentingan termasuk peminat, anggota persatuan, pemain, jurulatih, pegawai, media dan rakan kongsi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana terus bersatu dalam memerangi COVID-19,” kata Mejar Jeneral Sameth.

Sementara itu, SPORTFIVE, rakan komersial eksklusif Piala Suzuki AFF, menyokong keputusan yang dibuat oleh AFF untuk menangguhkan kejohanan.

Presiden Asia Pasifik di SPORTFIVE, Adrian Staiti berkata, “Walaupun kami kecewa kerana tidak dapat mengadakan kejohanan tahun ini, kami akan bekerjasama dengan AFF untuk memantau keadaan dan berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk memberikan sokongan hebat dalam kejohanan ini untuk peminat ASEAN tahun depan.”

Dengan menarik peminat lebih dari 750,000 penonton untuk edisi 2018, risiko dan cabaran dalam mengadakan acara besar-besaran pada masa ini cukup besar dalam keadaan semasa.

AFF akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai anggota persatuan dan rakan kongsi untuk memantau keadaan dan akan memberikan kemas kini lebih lanjut mengenai tarikh kejohanan 2021 dan perincian lain secepat mungkin.