Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) mengadakan undian bagi melantik ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) maktab berkenaan yang berlangsung di Dewan Kuliah 12, Maktab Duli pada 12 Ogos lalu.
Hadir di majlis berkenaan ialah Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad; Pengerusi PIBG 2019/2022, Haji Awang Mohammad Soffian bin Haji Omar; bekas Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Hamid, timbalan pengetua akademik, guru-guru kanan, ibu bapa dan pensyarah.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 150 orang itu menyaksikan ucapan yang disampaikan oleh Haji Awang Mohammad Soffian yang menyatakan penghargaan kepada semua komuniti maktab, ibu bapa, penjaga pelajar dan ahli-ahli jawatankuasa PIBG yang telah memberikan sokongan dan penglibatan penuh dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh persatuan itu.
Pada majlis berkenaan, pembubaran bagi Jawatankuasa PIBG 2019-2022 telah diumumkan secara rasmi oleh Dayangku Hajah Nooramaliatifah.
Majlis turut menyaksikan pelantikan pengerusi PIBG yang baharu iaitu Pengiran Hajah Mashayu binti Pengiran Haji Yusof serta pelantikan tujuh orang ibu bapa bagi pelbagai jawatan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian surat lantikan kepada ahli-ahli PIBG yang baru dilantik untuk sesi 2022/2024 oleh Dayangku Hajah Nooramaliatifah.