PIBG satu mekanisme penting

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah.

Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

Sehubungan itu, Sekolah Rendah Batu Marang mengadakan Perjumpaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan Pelantikan Jawatankuasa Tertinggi PIBG 2017-2019 yang berlangsung di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Hadir semasa majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Batu Marang, Haji Maidin bin Tarip dan Guru Besar Sekolah Rendah Batu Marang, Dayang Harifah Khalijah binti Mohammad.

Haji Maidin dan Dayang Harifah Khalijah bergambar ramai dengan ahli-ahli PIBG yang menghadiri sesi perjumpaan berkenaan.
Haji Maidin dan Dayang Harifah Khalijah bergambar ramai dengan ahli-ahli PIBG yang menghadiri sesi perjumpaan berkenaan.

Di majlis berkenaan, selain daripada pelantikan ahli Jawatankuasa Tertinggi PIBG Sesi 2017-2019, Dayang Harifah Khalijah turut menyampaikan taklimat mengenai Akta Pendidikan Wajib 2007.

Majlis turut menyaksikan sesi kongsi sama maklumat dengan Haji Maidin dan bacaan Doa Kesyukuran bagi pencapaian keputusan cemerlang Penilaian Sekolah Rendah 2016.