Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Picasso mini’ cetus sensasi dalam dunia seni

    NEUBEUERN – Laurent Schwarz, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang mungkin masih memakai lampin namun berjaya meraih populariti di media sosial dengan hasil lukisannya sehingga digelar ‘Picasso mini’ di Jerman.

    Di sebuah studio yang telah disediakan oleh ibu bapanya di rumah mereka di bandar Bavaria, Neubeuern, kanak-kanak itu sibuk mencipta karya seni yang berwarna-warni, sering kali lebih besar daripada dirinya.

    Apabila dia tidak bermain dengan mainan dinosaurnya, dia suka melukis secara bebas dengan cat akrilik pada kanvas dengan menggunakan berus, penggelek atau hanya menggunakan jarinya untuk menghasilkan karya abstrak yang menarik.

    Ibu bapanya mengatakan bahawa hasil karyanya telah menarik perhatian pencinta seni dan galeri malah dijual pada harga yang tinggi. Mereka menegaskan bahawa bakat seni Laurent telah mencetuskan sensasi dalam dunia seni, minat media serta pengalaman awalnya dengan kemasyhuran.

    Ibunya, Lisa Schwarz yang berusia 33 tahun memberitahu AFP bahawa keluarga mereka mula menyedari minat Laurent terhadap seni lukisan semasa percutian keluarga tahun lepas di sebuah hotel yang mempunyai studio.

    Laurent mencipta karya seni di studionya di rumah ibu bapanya di Neubeuern. – AFP
    Gambar AFP
    Laurent bermain bersama keluarganya di bilik permainannya di rumah ibu bapanya di Neubeuern. – AFP
    Gambar AFP
    Laurent bergambar bersama keluarganya di bilik permainannya di rumah ibu bapanya di Neubeuern. – AFP

    “Apabila kami pulang ke rumah, Laurent hanya mahu melukis sepanjang masa,” katanya.

    Dia dan suaminya, Philipp membelikannya beberapa kanvas, berus dan cat, dan tidak lama kemudian keluarga serta rakan-rakan mula berebut untuk melihat hasil karya si cilik yang berbakat itu.

    Mereka membuka akaun Instagram untuk berkongsi gambar hasil karya Laurent dengan lebih mudah dan berkata mereka terkejut dengan sambutan yang diterima.

    “Dalam tempoh empat minggu kami telah mendapat 10,000 pengikut,” kata Lisa, dengan pertanyaan daripada galeri yang muncul tidak lama selepas itu, serta minat daripada akhbar di Jerman dan luar negara yang dengan cepat menggelarkannya sebagai ‘Picasso mini’.

    Akaun Instagram itu kini mempunyai 90,000 pengikut dan pada sesi jualan hasil karya Laurent pada September, pembeli dari seluruh dunia menunjukkan minat, menurut ibu bapanya.

    Mereka menyatakan bahawa beberapa karya telah dijual dengan harga ratusan ribu euro, tetapi enggan mendedahkan butiran mengenai jualan dan pembeli.

    SENTIASA MELUKIS

    Laurent bukanlah satu-satunya artis kanak-kanak yang berjaya menarik perhatian orang ramai.

    Sebagai contoh pada tahun 2022, seorang kanak-kanak Amerika berusia 10 tahun,Andres Valencia menjual karyanya yang dipengaruhi oleh gaya Picasso dengan harga beberapa ratus ribu dolar.

    Pada akhir tahun 1990an, artis Romania-Amerika, Alexandra Nechita juga dibandingkan dengan pakar Sepanyol itu pada usia yang muda, iaitu 12 tahun.

    Ibu bapa Laurent berkata mereka masih terkejut dengan reaksi terhadap hasil karya anak mereka.

    Walaupun pada masa ini hampir semuanya telah dijual, Laurent “senitasa melukis karya yang baharu,” kata Philipp, 43.

    “Ada lukisan yang kami tidak jual, contohnya hasil karya pertamanya atau yang sangat disukainya,” jelasnya.

    Ibu bapa Laurent mengatakan mereka menyimpan wang yang dibayar untuk karya Laurent dalam akaun atas namanya, yang boleh diaksesnya apabila dia dewasa.

    “Dia boleh belajar melukis, membeli kereta, bermain alat muzik, bermain bola sepak. Terpulang kepadanya untuk memilih,” kata Philipp, 43.

    “Yang penting bagi kami adalah dia gembira,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda